[ c l o s e ]


‘Burger’ RM75,000!

Posted by Unknown in

Taktik seorang lelaki yang cuba mengaburi mata polis dengan membungkus dadah menyerupai burger dan nasi kandar terbongkar ketika dia ditahan di rumahnya di Taman Machang Bubok, di sini, Rabu lalu.



Dalam serbuan kira-kira jam 1.10 tengah hari yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di rumah lelaki berusia 27 itu berjaya menemui heroin seberat 1.47 kilogram.
Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM75,000.
Menurutnya, pada mulanya lelaki berkenaan ditahan di hadapan rumahnya dan polis menemui dua peket dadah padanya sebelum membawanya untuk membuat pemeriksaan di kediamannya.
Katanya, dalam pemeriksaan itu polis menemui beberapa bungkusan mencurigakan termasuk menggunakan kertas pembungkus burger di sebuah di bilik di rumah terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut taktik lelaki terbabit menggunakan kertas bungkusan berkenaan terbongkar apabila didapati mengandungi dadah.
“Kami percaya dadah itu dibungkus dengan pembalut burger supaya ia mudah dibawa dan orang tidak mengesyakinya,” katanya.
Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga 20 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sejak awal tahun hingga kini, kita berjaya menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang terbabit dengan kes dadah di sekitar daerah ini,” katanya.
Menurutnya, polis akan mempergiatkan operasi membanteras sindiket pengedaran dadah di daerah itu serta meminta kerjasama orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat kepada polis.
Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments:

.